|
 |
|
| UTAMA > LAPORAN SEMASA |
| Latihan-latihan pendakian |
 |
Latihan Pendakian 1 Gunung Sederhana Tinggi, Gunung Nuang,Selangor (21 -22 Mac 2008) |
 |
Latihan Pendakian 2, Gunung Sederhana Tinggi, Gunung Datuk, Rembau, Negeri Sembilan (25 – 26 April 2008) |
 |
Latihan Pendakian 3 - Gunung Bujang Melaka, Kampar Perak, (27 – 29 Jun 2008) |
 |
Latihan Rock Climbing di Wira Damai, Batu Caves Selangor (27 Julai 2008) |
 |
Latihan Pendakian 5, Gunung Brinchang & Gunung Swettenham, Cameron Highlands, Pahang (22-24 Julai 2008) |
 |
Latihan Pendakian 6, Gunung Bunga Buah, Cameron Highlands, Pahang (18-19 Oktober 2008) |
 |
Latihan Pendakian 7, Gunung Besar Hantu, Jelebu, Negeri Sembilan (21-23 November 2008) |
 |
Latihan Pendakian 8, Ekspedisi Titiwangsa, Banjaran Titiwangsa (24-29 Disember 2008) |
| |
 |
| Latihan Pendakian 1 Gunung Sederhana Tinggi, Gunung Nuang,Selangor (21 -22 Mac 2008) |
- Dato’ Haji Khalid Bin Yunus
- Mohd Zaaba (Wak)
- Mohd Illaham (Pak Am)
- Roslizawati (Jaja)
- Shahrul Azwan (Wan)
- Mohd Fazli (Acai)
- Ahmad Reduan (Mat)
- Mohd Faisal
- Shahidan
- Mohd Shaheir (Chae)
Gunung Nuang dengan ketinggian 1,439m menjadi tempat latihan pertama sebagai persediaan awal sebelum ekspedisi sebenar menakluk Gunung Everest. Pendakian kali ini telah dirancang sebulan awal bagi memudahkan pendaki membuat persedian awal latihan serta cuti dari majikan masing-masing. Kami bertolak pada sebelah malam Jumaat dan dijangka pendakian berakhir pada keesokan harinya. Objektif pendakian pada sebelah malam ini bertujuan untuk membiasakan diri pendaki dengan suasana sejuk dan menguji ketahanan mental dan fizikal pendaki.
Kami berkumpul di kaki Gunung Nuang seawal pukul 9 malam lagi. Keadaan hujan renyai agak menyukarkan perjalanan kerana trek licin dan kemungkinan bahaya daripada haiwan liar. Kami bergerak mengikut 2 kumpulan. Kumpulan pertama terdiri daripada Dato’ Khalid, Wan, Pak Am, Faisal dan Jaja. Sebelum mendaki, kami memanjatkan doa mohon diberi perlindungan daripada Tuhan semoga perjalanan kami berjalan dengan lancar. Sebelum memulakan pendakian, kami memastikan peralatan mandatori turut dibawa sebagai langkah berjaga-jaga terutamanya apabila meredahi hutan pada sebelah malam.
Sesekali pendakian terhenti sebentar untuk memberi peluang kepada Dato’ Khalid berehat dan meregangkan otot. Keadaan sejuk boleh menyebabkan berlakunya kekejangan otot dan ia perlu diberi perhatian serius oleh pendaki. Kami tiba di Kem Lo Lo pada pukul 12 malam dan berehat sebentar untuk minum, makan sambil membuang pacat di kaki yang sejak dari tadi asyik menghisap darah. Ini merupakan lumrah pendakian terutamanya musim hujan. Di Kem Lo Lo ini juga menempatkan kem-kem perkhemahan kerana terletak berdekatan dengan sungai. Sementara itu, kumpulan kedua yang terdiri daripada pendaki berpengalaman, Mat mengetuai ahli kumpulannya yang terdiri daripada Idan, Acai dan Chae. Mereka difahamkan mula bergerak tepat pukul 11.30 malam dan turut melalui darjah kepayahan yang sama seperti kami.
Pendakian diteruskan hingga ke Kem Pacat. Untuk tiba di kem ini ia mengambil masa selama 2 jam. Pendaki dengan sebulat suara bersetuju untuk bermalam di Kem Pacat sebelum ke puncak Nuang. Beralaskan fly sheet, kami tidur beramai-ramai sambil melepaskan kepenatan mendaki. Maklum sahajalah, ini merupakan latihan pertama pendakian dan sudah pasti tahap kepenatannya agak tinggi dan ini dapat dilihat dengan tidur kami yang amat nyenyak. Kumpulan kedua pendaki pula tiba di Kem Pacat pada sejam kemudian. Pendaki sudah bersiap sedia seawal 8 pagi. Makanan yang dibawa adalah yang ringkas dan mudah dihadam seperti roti, biskut serta makanan pemberi tenaga, PowerBar. Tiada kecederaan dicatatkan kecuali masalah kekejangan otot oleh Dato’. Beliau diberi rawatan urut oleh saudara Wan dan dibenarkan meneruskan pendakian. Saudara Chae menamatkan sesi pendakiannya di kem ini kerana mempunyai tugas lain di UiTM.
Kami mengambil masa 2 jam untuk sampai ke puncak Gunung Nuang. Berbakikan 2 jam ini, pendakian ini benar-benar menguji mental pendaki, namun tiada siapa mengeluh kerana rata-ratanya sudah lali dan akur dengan dunia pergunungan yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Trek pendakian agak licin dan ada yang mencecah sehingga 80 darjah. Kami selamat tiba di puncak Gunung Nuang pada pukul 10 pagi. Di sini, kesempatan bergambar kenangan diambil sambil berehat seketika untuk makan tengah hari. Wan dan Pak Am meminta keizinan untuk bergerak pulang terlebih dahulu kerana mempunyai alasan masing-masing. Perjalanan menuju ke bawah diteruskan tepat pukul 11.45 pagi.
Perjalanan turun lebih memerlukan penelitian yang cermat kerana kecederaan mudah berlaku. Pendaki rata-rata lebih berhati-hati dan perjalanan kami mengambil masa selama 6 jam untuk tiba di kaki Gunung Nuang. Alhamdulillah kerana pendakian kali ini berjalan dengan lancarnya tanpa kecederaan serius.
Kesimpulan:
Gunung Nuang merupakan landasan terbaik dalam memulakan sesi latihan kerana faktor bentuk muka bumi serta darjah kepayahannya. Berbekalkan latihan dan pengalaman yang dipelajari, pendaki sepatutnya dapat menilai serta dapat meletakkan diri masing-masing di sesuatu peringkat dan dapat memperbaiki tahap kecergasan masing-masing bagi program latihan yang akan datang.
Laporan oleh: Jaja |
| Ke atas |
 |
Latihan Pendakian 2, Gunung Sederhana Tinggi, Gunung Datuk, Rembau, Negeri Sembilan (25 – 26 April 2008) |
Pada 25 – 26 APRIL 2008, seramai 5 orang ahli Persatuan Kembara Negara (PKN) telah berjaya melaksanakan Ekspedisi Gunung Datok di Rembau, Negeri Sembilan. Ekspedisi ini juga turut disertai oleh Kelab Penyokong PKN iaitu Kelab Kembara & Sukan Lasak Institut Kejuruteraan Tentera Darat yang dianggotai seramai 24 orang.
Ekspedisi ini bukan hanya satu pendakian gunung sahaja. Dalam masa sama ia menjadi satu sesi latihan pendakian bagi orang Pendaki Utama Projek Everest 2010 yang diketuai oleh Ketua Ekspedisi Everest-Tibet 2010 merangkap Presiden Persatuan Kembara Negara iaitu Dato’ Hj Khalid Yunus. Kali ini pendakian dilaksanakan pada waktu malam. Ia bertujuan untuk menguji ketahanan fizikal dan mental para pendaki apabila mendaki dalam keadaan yang gelap. Di samping itu ia juga bertujuan untuk membiasakan diri para pendaki pada cuaca yang sejuk.
Gunung Bujang Melaka yang berketinggian 2900 kaki dari atas paras laut mempunyai keistimewaannya dan cabarannya yang tersendiri. Untuk ke kaki gunung ini tidaklah terlalu sukar seperti sesetengah gunung yang lain di Malaysia. Perjalanan hanya mengambil masa 15 minit sahaja dari pekan Rembau.
Di kaki gunung ini terdapat sebuah perkampungan iaitu Kampung Bongek. Penghuni kampung ini kebanyakannya becucuk tanam dan mengerjakan kebun getah dan sawit sebagai sumber pendapat mereka.
Selain daripada itu di kaki gunung ini juga terdapat air terjun yang indah. Ia sentiasa dikunjungi oleh orang ramai untuk beriadah dan beristirehat. Di samping itu pihak berkuasa tempatan telah menyediakan pelbagai fasilitas untuk kemudahan para pengunjung antaranya chalet-chalet, tandas awam, gerai, dewan terbuka, tapak perkhemahan dan lain-lain lagi.
Untuk menawan puncak Gunung Datok tidaklah perlu memakan masa yang lama. Hanya kira-kira 2 jam perjalanan sahaja. Namun gunung ini terdapat cabarannya yang tersendiri. Dalam jangka waktu tersebut pendaki terpaksa melalui kawasan yang bercuram. Sehingga ada yang mencecah 80 darjah. Ia benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental para pendaki. Dalam masa pendakian itu juga para pendaki berpeluang menyaksikan kehidupan flora dan fauna yang jarang ditemui di tempat lain. Terdapat pelbagai tumbuhan unik di sekitar kawasan pergunungan ini.
Di puncak gunung ini ada tempat untuk para pendaki berkhemah namun ia tidak terlalu luas dan tiada punca air di sini. Oleh itu, jika ada para pendaki yang ingin bermalam di puncak haruslah membawa bekalan yang secukupnya.
Puncak gunung ini adalah kawasan bongkah batu. Para pendaki perlu memanjat tangga besi yang telah disediakan. Puncak gunung ini tidak terlalu luas. Oleh itu para pendaki harus berhati-hati ketika berada di puncak kerana disekeliling puncak ini adalah tebing tinggi. Sekiranya terjatuh, pastinya menemui ajal.
Di puncak gunung ini para pendaki dapat melihat hampir 360 darjah pemandangan. Dari puncak ini juga para pendaki dapat melihat pantai-pantai di Port Dickson dan kawasan sekitar. Malah dapat melihat dengan jelas puncak Gunung Tampin dan Negeri Melaka.
Ketika di puncak ada sekumpulan pendaki dari Sony Ericcsson Mobile. Menurut mereka pendakian ke Gunung Datok adalah salah satu fasa latihan mereka untuk ke Gunung Kinabalu. Selain itu, mereka baru sahaja berjinak-jinak dalm sukan mendaki ini. Ini menunjukkan bahawa sukan mendaki ini semakin popular di mata masyarakat awam.
Di tengah-tengah keindahan alam semulajadi ada juga yang tidak menyenangkan apabila trek pendakian ke gunung ini dicemari dengan sampah sarap yang ditinggalkan oleh pendaki sebelum ini. Mungkin pendaki yang datang sebelum ini masih lagi kurang pendedahan dalam ilmu rekreasi dan tidak prihatin kepada alam sekitar. Adakah salah pihak berkuasa tempatan?
Kesimpulan:
Walaupun usaha mendaki gunung ganang itu perit, tetapi pelbagai keindahan dan keistimewaan yang disaksikan di sepanjang pendakian itu menjadi penawar mujarab.
Laporan oleh: Awan |
| Ke atas |
 |
| Latihan Pendakian 3 - Gunung Bujang Melaka, Kampar Perak, (27 – 29 Jun 2008) |
27-29 JUN 2008 - Seramai 9 orang ahli Persatuan Kembara Negara (PKN) telah berjaya melaksanakan Ekspedisi Gunung Bujang Melaka di Kampar, Perak. Ekspedisi ini juga turut disertai oleh Kelab Penyokong PKN iaitu Kelab Kembara & Sukan Lasak Institut Kejuruteraan Tentera Darat yang dianggotai seramai 14 orang.
Ekspedisi ini bukan hanya satu pendakian gunung sahaja. Dalam masa sama ia menjadi satu sesi latihan pendakian bagi 6 orang Pendaki Utama Projek Everest 2010 yang diketuai oleh jurulatih pasukan ini iaitu saudara Ahmad Rezuan Rozali pendaki Everest 2004 dan 2007.
Gunung Bujang Melaka yang berketinggian 1233 meter dari atas paras laut mempunyai keistimewaannya dan cabarannya yang tersendiri. Untuk ke kaki gunung ini tidaklah terlalu sukar seperti sesetengah gunung yang lain di Malaysia. Perjalanan hanya mengambil masa 15 minit sahaja dari pekan Kampar.
Di kaki gunung ini terdapat sebuah perkampungan orang asli iaitu Kampung Batu Berangkai. Selain itu terdapat juga beberapa perkampungan orang asli di kawasan ini antaranya Kampung Badak Berendam dan Kampung Bemban. Penghuni kampung-kampung ini kebanyakannya terdiri daripada suku kaum Semai.
Selain daripada itu, di kaki gunung ini juga terdapat air terjun yang indah iaitu Air Terjun Batu Berangkai. Namun tempat ini kurang dikunjungi oleh pelancong kerana perjalanannya yang jauh ke dalam kawasan perkampungan dan melalui jalan yang sempit.. Malah ada yang tidak berani untuk mengunjungi tempat ini kerana terdapat beberapa kematian yang berlaku.
Untuk menawan puncak Gunung Bujang Melaka ini tidaklah perlu memakan masa yang lama. Hanya kira-kira 4 jam perjalanan. Namun gunung ini terdapat cabarannya yang tersendiri. Dalam jangka waktu tersebut pendaki terpaksa melalui kawasan yang bercuram. Selain daripada itu pendaki juga terpaksa mendaki beberapa buah bukit untuk sampai ke puncak gunung ini.
Dalam masa pendakian itu juga para pendaki berpeluang menyaksikan kehidupan flora dan fauna yang jarang ditemui di tempat lain. Terdapat pelbagai tumbuhan unik serta orkid liar di sekitar kawasan pergunungan ini. Malah pendaki juga akan melalui kawasan dusun durian kepunyaan masyarakat tempatan. Jika ada rezeki, sudah pasti kami tidak melepaskan peluang untuk merasai kenikmatan durian hutan.
Seperti di Gunung Datok, Gunung Bujang Melaka juga tidak terlepas daripada dicemari dengan sampah sarap oleh pendaki sebelumnya. Di manakah letaknya rasional pendaki-pendaki? Pihak berkuasa perlulah mengambil inisitaif dengan mengenakan denda yang berat kepada kumpulan pendaki yang tidak menjaga kebersihan.
Kesimpulan:
Gunung Bujang Melaka secara keseluruhannya memang memberi impak yang besar terhadap tahap kecergasan pendaki. Jarak perjalanannya yang jauh sememnagnya menguji mental dan fizikal. Pendakian seperti ini amatlah digalakkan dan ada di antar pendaki yang mensasarkan untuk memilih gunung ini sebagai siri Sirkit Kembara Negara. Kejayaan pada kali ini banyak membantu pendaki untuk lebih efisien untuk berlatih bersungguh-sungguh untuk cabaran gunung berikutnya.
Laporan oleh: Awan |
| Ke atas |
 |
| Latihan Rock Climbing di Wira Damai, Batu Caves Selangor (27 Julai 2008) |
27 JULAI 2008 - Seramai 6 orang ahli Persatuan Kembara Negara (PKN) telah berjaya melaksanakan aktiviti rock climbing di Wira Damai, Batu Caves, Selangor. Program ini juga turut disertai oleh Kelab Penyokong PKN iaitu Kelab Kembara & Sukan Lasak Institut Kejuruteraan Tentera Darat yang dianggotai seramai 12 orang. Program ini dikendalikan oleh saudara Shahir di mana beliau merupakan salah seorang ahli Persatuan Kembara Negara dan dibantu oleh saudara Izad dari Greenless Outdoor.
Program ini sebenarnya merupakan salah satu fasa latihan bagi Pendaki Utama Projek Everest-Tibet 2010. Program ini lebih tertumpu kepada ketahanan “upper body”. Selain daripada itu ia juga bertujuan untuk mempelajari aspek-aspek teknikal dalam pendakian seperti pengenalan kepada peralatan asas, jenis-jenis ikatan yang digunakan, teknik pendakian dan lain-lain lagi.
Kampung Wira Damai merupakan salah satu lokasi rock climbing yang menarik dan ada keistimewaannya yang tersendiri. Lokasi ini sangat bersesuaian kerana ia tidak jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur dan mudah untuk dikunjungi. Di lokasi ini juga terdapat sebuah gua yang diberi nama Gua Damai dan terbuka kepada orang ramai untuk menerokainya.
Lokasi ini cukup terkenal bukan sahaja di kalangan pendaki tempatan, malah ia turut dikunjungi pendaki-pendaki dari luar negara. Menurut mereka, lokasi ini mempunyai cabarannya yang tersendiri berbanding di tempat lain. Selain daripada itu lokasi ini juga terdapat banyak ”route” yang boleh digunakan. Oleh itu para pendaki tidak perlu menunggu terlalu lama atau berebut dengan pendaki lain yang berlaku di sesetengah tempat. Bahkan juga, menurut mereka pendaki Malaysia sangat ramah dan sudi membantu malah turut serta mendaki bersama-sama.
Kini, Kampung Wira Damai telah berubah wajah. Terdapat pelbagai fasilitas yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan para pendaki. Antaranya platform pendakian yang diperbuat daripada getah yang dapat mengurangkan hentakan sekiranya pendaki terjatuh. Selain itu terdapat juga tandas awam dan taman permainan kanak-kanak di mana orang ramai dapat beriadah sekeluarga di samping dapat melihat para pendaki memanjat tembok dinding batu kapur yang tersergam indah.
Kesimpulan:
Dengan kekerapan latihan serta dibantu oleh jurulatih yang bertauliah, tidak mustahil suatu hari nanti negara Malaysia dapat melahirkan pendaki yang hebat di mata dunia seterusnya mengharumkan nama negara, manakala bagi bakal-bakal pendaki Everest pula, ini merupakan landasan terbaik bagi memantapkan lagi daya tahan otot serta dapat meningkatkan keyakinan diri setiap individu sebagaimana yang akan diterapkan pada pendakian Everest nanti.
Laporan oleh: Awan |
 |
| Latihan Pendakian 5, Gunung Brinchang & Gunung Swettenham, Cameron Highlands, Pahang (22-24 Julai 2008) |
Laporan oleh: Jaja |
| Ke atas |
 |
| Latihan Pendakian 6, Gunung Bunga Buah, Cameron Highlands, Pahang (18-19 Oktober 2008) |
18 – 19 OKTOBER 2008 - Seramai 9 orang ahli Persatuan Kembara Negara (PKN) telah berjaya melaksanakan Ekspedisi Gunung Bunga Buah di Genting Highland. Ekspedisi ini merupakan salah satu fasa latihan pendakian tempatan bagi Pendaki Utama Projek Everest-Tibet 2010.
Dalam ekspedisi ini, ketua jurulatih iaitu saudara Ahmad Rezuan Rozali, pendaki Everest 2004 dan 2007 mula menekan aspek pemakanan dalam pendakian. Dalam ekspedisi ini, para pendaki hanya dibenarkan membawa makanan ringan sahaja seperti kekacang dan bijirin. Selain itu, para pendaki juga mula didedahkan teknik pemakanan PowerBar merangkumi PowerBar Gel, PowerBar Triple Threat, PowerBar Protien Plus, PowerBar Performance dan lain-lain lagi. Dalam ekspedisi ini juga para pendaki diuji dari segi mental di mana jurulatih membawa makanan yang enak untuk menjamu selera. Alhamdulillah objektif berjaya dicapai walaupun tidak sepenuhnya.
Gunung Bunga Buah yang berketinggian 4690 kaki dari atas paras laut mempunyai keistimewaannya dan cabarannya yang tersendiri. Untuk ke kaki gunung ini tidaklah terlalu sukar seperti sesetengah gunung yang lain di Malaysia. Pendakian bermula dari pekan Gohtong Jaya, Genting Highland. Permulaan pendakian adalah melalui kebun sayur di belakang Kolej Inti.
Selepas melalui kebun sayur tersebut, trek pendakian agak mencabar kerana keadaan trek yang curam dan licin. Ini menyukarkan pendaki untuk meneruskan pendakian. Setelah mendaki kira-kira 20 minit, anda akan menemui trek jalan berturap. Jalan ini sudah lama tidak digunakan kerana keadaannya yang bersemak samun. Trek ini agak jauh namun ia tidak memenatkan kerana permukaan jalan yang sentiasa naik dan turun. Namun perlu berhati-hati kerana permukaan jalan ini licin disebabkan lumut yang semakin menebal.
Walaupun perjalanan trek ini agak jauh, ia tidak membosankan para pendaki kerana dijamu pemandangan yang indah. Antaranya tembok batu yang sangat tinggi. Sangat sesuai jika ingin melaksanakan aktiviti tali di sini. Di samping itu para pendaki juga berpeluang untuk melihat flora dan fauna yang hidup meliar di kawasan ini. Antaranya orkid liar yang cukup banyak di sepanjang trek.
Namun para pendaki jangan terlalu alpa dengan keindahan yang disajikan kerana para pendaki perlu berhati-hati kerana terdapat simpang untuk menuju ke puncak. Jika terlepas, maka sia-sia sahaja pendakian serta matlamat tidak dapat dicapai. Selepas simpang itu, para pendaki akan melalui trek hutan. Trek agak curam dan licin serta terdapat beberapa buah bukit yang perlu didaki. Semasa dalam pendakian, kami terserempak sekumpulan pendaki sedang memasak di tengah trek. Menurut mereka, kumpulan mereka telah terpecah kepada 2 kumpulan. 1 kumpulan lagi telah jauh berada di hadapan. Mereka adalah penuntut di Maktab Perguruan Perlis. Orang jauh rupanya. Kerana minat, mereka sanggup datang dari jauh semata-mata ingin memenuhi hajat di hati.
Kira-kira 2 jam perjalanan dari simpang tadi, para pendaki akan melalui kawasan yang berbatu. Lokasi ini sangat sesuai untuk melepaskan lelah kerana terdapat ”view point” di sini. Pemandangannya cukup luas dan sangat mengasyikkan. Malah lokasi ini juga boleh dijadikan tapak perkhemahan tetapi terhad kepada 5 orang sahaja.
Setelah berehat kira-kira 10 minit para pendaki meneruskan pendakian menuju ke puncak. Perjalanan sudah tidak terlalu jauh. Kira-kira satu pendakian akhirnya para pendaki tiba di puncak Gunung Bunga Buah. Di sini, kami terserempak dengan satu lagi kumpulan dari Maktab Perguruan Perlis tadi. Mereka tiba lebih awal, namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana bekalan makanan berada di kumpulan belakang. Hanya khemah yang dapat didirikan. Di sini mereka mendapat iktibar. Saya menasihatkan mereka supaya merancang perjalanan dan keperluan pendakian semasa mendaki agar tidak berlaku pada masa akan datang.
Cuaca di puncak agak dingin. Suasana malam juga sungguh damai tatkala disajikan pemandangan yang indah. Di puncak gunung ini, para pendaki berpeluang melihat keindahan malam bandaraya Kuala Lumpur. Hampir keseluruhan bandaraya dapat dilihat. Menara Kuala Lumpur dan menara berkembar, KLCC dapat dilihat dengan jelas kerana ia adalah yang tertinggi. Kita sebagai rakyat Malaysia harus berbangga kerana tergolong sebagai salah satu bangunan yang tertinggi di dunia. Dengan ini negara luar akan tunduk hormat kepada kita bahkan memandang tinggi di atas kepimpinan yang sedia ada kerana menjadikan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dapat hidup bersama dengan aman dan harmoni.
Namun begitu, di dalam keasyikan mendaki, kami juga turut tidak berpuas hati dengan segelintir pendaki yang tidak sensitif dengan kebersihan alam sekitar. Ini dapat dilihat apabila masih lagi terdapat cebisan-cebisan plastik makanan dibuang di merata-rata tempat. Sebagai warga pendaki yang cintakan kebersihan alam, kami menyeru pendaki-pendaki lain untuk turut menjadikan gunung di Malaysia sebagai kawasan gunung angkat mereka. Kebersihan mencerminkan keperibadian seseorang. Jadi, tepuk dada tanyalah minda!
Kesimpulan:
Pendakian kali ini dianggap cukup sempurna apabila kami mencapai objektif pemakanan masing-masing. Ini sedikit sebanyak membantu kami untuk mengaplikasikannya di Kem 3 dan Kem 4 di Everest nanti.
Laporan oleh: Awan |
| Ke atas |
 |
| Latihan Pendakian 7, Gunung Besar Hantu, Jelebu, Negeri Sembilan (21-23 November 2008) |
21 -23 NOVEMBER 2008 - Seramai 9 orang ahli Persatuan Kembara Negara (PKN) telah berjaya melaksanakan Ekspedisi Gunung Besar Hantu di Jelebu, Negeri Sembilan. Ekspedisi ini juga turut disertai oleh Kelab Penyokong PKN iaitu Kelab Kembara & Sukan Lasak Institut Kejuruteraan Tentera Darat yang dianggotai seramai 12 orang. Selain daripada itu, ekspedisi ini juga turut disertai oleh Dr Sharul dari Slim River dan 2 orang bekas pelajar UiTM.
Ekspedisi ini bukan hanya satu pendakian gunung sahaja. Dalam masa sama ia menjadi satu sesi latihan pendakian bagi 7 orang Pendaki Utama Projek Everest 2010 yang diketuai oleh jurulatih pasukan ini iaitu saudara Ahmad Fakhri bin Abu Samah, pendaki Everest 2007.
Gunung Besar Hantu yang berketinggian 4797 kaki dari atas paras laut mempunyai keistimewaannya dan cabarannya yang tersendiri. Untuk ke kaki gunung ini tidaklah terlalu sukar seperti sesetengah gunung yang lain di Malaysia. Perjalanan hanya mengambil masa 15 minit sahaja dari pekan Jelebu. Dari Kampung Chennah, para pendaki akan menaiki kenderaan pacuan 4 roda untuk ke kaki gunung ini. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam.
Untuk sampai ke kaki gunung ini, para pendaki akan melalui beberapa perkampungan orang asli antaranya Kampung London. Penghuni kampung-kampung ini kebanyakannya terdiri daripada suku kaum Semai dan Temiar. Aktiviti perkampungan ini adalah bercucuk tanam dan mencari hasil hutan sebagai mata pencarian.
Selain daripada itu di kaki gunung ini juga terdapat air terjun yang indah dan sangat tinggi iaitu Air Terjun Kijang Jatuh. Namun tempat ini kurang dikunjungi oleh pelancong kerana perjalanannya yang jauh ke dalam kawasan perkampungan dan melalui jalan yang sempit.. Malah terpaksa menggunakan kenderaan pacuan 4 roda kerana trek perjalanan yang agak sukar di lalui oleh kenderaan biasa.
Di kawasan air terjun ini terdapat pelbagai fasilitas yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan untuk kemudahan para pendaki. Antara kemudahan yang disediakan adalah seperti pondok, dewan terbuka dan tandas.
Untuk menawan puncak Gunung Besar Hantu ini tidaklah perlu memakan masa yang lama. Hanya kira-kira 5 jam perjalanan. Namun gunung ini terdapat cabarannya yang tersendiri. Permulaaan pendakian, para pendaki disajikan dengan mendaki kira-kira 343 anak tangga yang diperbuat daripada besi. Anak tangga ini agak tinggi dan curam. Malah ada yang sudah reput.
Selepas berjaya memanjat anak tangga tadi, perjalanan agak mudak kerana melalui permatang. Di hujung permatang ini para pendaki akan menemui satu anak sungai yang sangat jernih. Menurut penduduk setempat, sungai ini di beri nama Sungai Hantu Raya. Di sini para pendaki perlu mengambil bekalan air yang secukupnya untuk dibawa ke puncak.
Selepas sungai tadi perjalan agak sukar kerana trek pendakian yang semakin curam. Kira-kira 2 jam perjalanan, para pendaki tiba di Kem Orkid. Kem ini sangat sesuai untuk dijadikan tapak perkhemahan. Namun sekiranya musim kering, tiada punca air di sini. Pendakian kami pada kali ini sangat bertuah kerana terdapat 2 punca air di kem ini.
Dari Kem Orkid, perjalanan hanya mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk sampai ke puncak. Trek pendakian semakin curam dan mencabar. Di puncak gunung ini para pendaki dapat melihat hampir 360 darjah pemandangan. Dari puncak ini para pendaki dapat melihat Gunung Bongkok. Menurut penduduk tempatan, tiada lagi pendaki yang berjaya sampai ke puncak gunung tersebut. Dari sini juga para pendaki dapat melihat Gunung Nuang.
Dalam masa pendakian itu juga para pendaki berpeluang menyaksikan kehidupan flora dan fauna yang jarang ditemui di tempat lain. Terdapat pelbagai tumbuhan unik serta orkid liar di sekitar kawasan pergunungan ini.
Seperti yang sering ditekankan oleh pendaki, kami masih lagi menjumpai cebisa-cebisan plastik dan sampah sarap dari pendaki sebelumnya. Kami berharap pihka berkuasa menegnakan denda yang lebih ketat agar pendaki tidak sewenang-wenangnya membuang samaph di merata-rata tempat.
Kesimpulan:
Pendakian ke Gunung Besar Hantu ini memberi impak besar kepada kami kerana selain menekankan aspek pemakanan di Kem 3 dan Kem 4 seperti yang diaplikasi di Gunung Bunga Buah sebelum ini, kami sudah serasi dengan makanan yang disyorkan dan semoga dengan latihan pemakanan ini sedikit sebanyak membantu kami menyesuaikan diri di Everest nanti.
Laporan oleh: Awan |
| Ke atas |
 |
| Latihan Pendakian 8, Ekspedisi Titiwangsa, Banjaran Titiwangsa (24-29 Disember 2008) |
24 – 29 DISEMBER 2008 - Seramai 16 orang ahli Persatuan Kembara Negara (PKN) telah berjaya melaksanakan Ekspedisi Transtitiwangsa di Banjaran Titiwangsa. Ekspedisi ini juga turut disertai oleh Kelab Penyokong PKN yang tidak pernah jemu untuk bersama PKN iaitu Kelab Kembara & Sukan Lasak Institut Kejuruteraan Tentera Darat yang dianggotai seramai 12 orang. Selain daripada itu, ekspedisi ini juga turut disertai oleh Dr. Sharul dari Slim River.
Ekspedisi ini bukan hanya satu pendakian gunung sahaja. Dalam masa sama ia menjadi satu sesi latihan pendakian bagi 7 orang Pendaki Utama Projek Everest 2010 yang diketuai oleh Ketua Ekspedisi iaitu Dato’ Hj Khalid bin Yunus. Ekspedisi kali ini menekankan buddy system sebagai fokus utama latihan. Buddy atau pasanganitu sendiri telah dipilih oleh ketua jurulatih kami, saudara Mat. Buddy system merupakan antara langkah penting bagi pendaki kerana setiap pendaki haruslah benar-benar memahami pasangan masing-masing tidak kira dari semua aspek sekalipun. Tujuannya adalah untuk memupuk semangat kerjasama yang amat mendalam kerana di Everest nanti, buddy inilah yang akan memainkan peranan utama kerana jika sekiranya tiada kerjasama dari individu ini, makan ia akan mencacatkan sesuatu objektif pendakian.
Dalam ekspedisi ini, kesemua pendaki telah berjaya menawan puncak Gunung Korbu (7162’), Gunung Gayong (7129’) dan Gunung Yong Belar (7156’). Gunung-gunung ini merupakan antara gunung yang tersenarai dalam G7 iaitu gunung yang berketinggian melebihi 7000 kaki dari paras laut.
Ekspedisi ini mempunyai keistimewaannya dan cabarannya yang tersendiri. Untuk sampai ke kaki gunung ini tidaklah terlalu sukar seperti sesetengah gunung yang lain di Malaysia. Perjalanan hanya mengambil masa 15 minit sahaja dari Bandar Ipoh. Dari Hulu Kinta, para pendaki akan menaiki kenderaan pacuan 4 roda untuk sampai ke Sungai Senooi. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit.
Para pendaki memulakan pendakian dari Sungai Senooi menuju ke Kem View. Perjalanan pada hari ini diiringi hujan renyai-renyai. Untuk sampai ke Kem View, para pendaki berhadapan dengan pelbagai cabaran. Antaranya trek yang licin dan berselut, merangkak di celahan buluh dan merentasi 3 anak sungai. Perjalanan agak memenatkan sehinggakan ada yang tiba pada waktu malam di Kem View. Namun keletihan para pendaki terubat apabila dapat melihat pemandangan waktu malam bandaraya Ipoh daripada tapak perkhemahan ini.
Hari ke-2 menyaksikan para pendaki berhadapan trek yang agak panjang dan kecuraman hampir mencecah 70 darjah. Selain daripada itu para pendaki akan mendaki 10 puncak tipu sebelum sampai ke puncak Gunung Korbu. Kali ini para pendaki perlu membawa air yang secukupnya kerana tiada punca air di puncak Gunung Korbu. Memandangkan perjalanan yang jauh, kumpulan yang terakhir sekali tiba pada jam 11.30 malam. Di puncak gunung ini terdapat 3 lagi kumpulan pendaki lain yang turut bermalam di situ. Dari puncak ini para pendaki sekali lagi berpeluang menyaksikan persekitaran yang indah serta pemandangan bandaraya Ipoh yang semakin pesat membangun.
Hari ke-3 para pendaki bangun seawal pagi untuk meneruskan perjalanan. Namun, ketika sesi bergambar keadaan puncak menjadi riuh rendah apabila para pendaki dan pendaki dari kumpulan lain meraikan kejayaan menawan puncak gunung ini. Dato’ Hj Khalid Yunus menjadi tumpuan ramai apabila ramai pendaki yang ingin bergambar bersama beliau sebagai kenang-kenangan. Dari puncak gunung ini kami menuju ke puncak Gunung Yong Belar. Perjalanan hanya mengambil masa 1 jam 30 minit sahaja. Setibanya di puncak Gunung Yong Belar kami mendapat berita bahawa Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan telah mangkat. Kami beramai-ramai membacakan surah Al-Fatihah untuk disedekahkan kepada al-marhum. Semoga al-marhum ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin.
Setelah selesai sesi bergambar, para pendaki menuju ke Kem Cerek untuk berhenti rehat. Di sini juga para pendaki dikehendaki membawa bekalan air yang secukupnya kerana tiada punca air di tapak perkhemahan nanti. Dari Kem Cerek para pendaki menuju ke puncak Junction. Perjalanan agak jauh dan hujan masih lagi mengiringi perjalanan para pendaki ditambah pula dengan cuaca yang agak sejuk sehinggakan kumpulan yang terakhir tiba pada jam 1.00 pagi. Sungguh memenatkan.
Hari ke-4, para pendaki masih lagi dalam kepenatan namun perjalanan tetap diteruskan. Dari puncak ini para pendaki menuju ke H2O untuk berhenti rehat dan mengambil bekalan air. Di H2O, para pendaki tidak melepaskan peluang untuk bermandi-manda kerana sungainya yang agak besar. Malah ada yang tidak melepaskan peluang mencuci pakaian yang kotor. Dari H2O, para pendaki akan meneruskan perjalanan menuju ke puncak Gunung Yong Belar. Perjalanannya agak jauh ditambah keadaan trek yang teruk kerana hujan masih lagi tidak berhenti. Malah ada satu tempat di mana para pendaki perlu meniti di atas batang kayu. Di bawahnya cerun yang sangat dalam. Sebagai langkah keselamatan saudara Kay dan Awan mengambil inisiatif untuk membina jambatan baru dan memasang tali sebagai langkah keselamatan untuk pendaki di belakang.
Sebelum menuju ke puncak, para pendaki akan singgah di Kem Kuali untuk mengambil bekalan air yang secukupnya. Awan membuat keputusan PKN akan teruskan perjalanan ke puncak manakala KKSL-IJED bermalam di Kem Kuali kerana keadaan puncak yang sempit. Tambahan pula ada pendaki lain yang bermalam di puncak.
Malam ini para pendaki benar-benar menempuh pelbagai dugaan terutama sekali pendaki yang jauh di belakang. Hujan turun dengan lebatnya. Kumpulan pendaki di belakang tiba di Kem Kuali kira-kira jam 2.00 pagi. Keadaan mereka sangat teruk kerana keletihan dan kesejukan. Pada malam tersebut, para pendaki tidur dalam kebasahan.
Hari ke-5 merupakan hari terakhir ekspedisi. Dari puncak Gunung Yong Belar, para pendaki akan menuju ke Dam Blue Valley di mana tempat tamatnya ekspedisi ini. Namun, perjalanannya agak jauh. Syukur alhamdulillah pada hari ini cuaca sangat baik. Dari puncak, para pendaki akan melalui Kem Kasut dan kem Tudung Periuk untuk berhenti rehat melepaskan lelah. Sebelum sampai ke Dam Blue Valley para pendaki tidak terlepas dari mengharungi pelbagai cabaran. Antara cabaran yang diharungi adalah merentasi sungai yang deras, berjalan di atas 15 batang paip yang licin dan menuruni 315 anak tangga yang curam. Kumpulan yang terakhir sekali tiba di Dam Blue Valley adalah kira-kira jam 2.00 pagi. Sungguh memenatkan.
Dalam masa pendakian ekspedisi ini mungkin para pendaki tidak sedar di mana mereka telah mendaki 23 puncak tipu, merentasi 5 anak sungai dan lain-lain lagi. Namun ia terubat apabila para pendaki berpeluang menyaksikan pelbagai hidupan flora dan fauna yang jarang ditemui di tempat lain. Terdapat pelbagai tumbuhan unik serta orkid liar di sekitar kawasan pergunungan ini.
Sekali lagi kami dapati ada juga segelintir pendaki yang masih memandang enteng akan kebersihan di gunung. Masih ada yang membuang sampah sarap seperti plastik makanan, pakaian lusuh serta tidak ketinggalan barang-barang mendaki yang sudah rosak dek perjalanan yang lama. Kami menasihatkan pendaki-pendaki lain agar peliharalah alam sekitar kerana jika bukan pendaki itu sendiri, siapa lagi yang akan mengambil berat tentang kebersihan gunung di Malaysia. Inilah antara khazanah yang cantik dan menarik Tuhan kurniakan kepada bumi kita.
Kesimpulan:
Pendakian Ekspedisi Banjaran Titiwangsa ini amatlah berguna untuk dikongsi bersama. Bersama-sama objektif yang diterapkan, buddy system sangatlah penting di dalam pendakian di Everest nanti. Namun begitu, masih banyak yang perlu diperbaiki dan dari sinilah, merupakan landasan terbaik untuk mengenal sedalam-salamnya buddy masing-masing dalam usaha mencapai objektif menawan puncak Everest pada 2010 nanti.
Laporan oleh: Awan |
| Ke atas |
| |
|
|
|
|