Dengan nama Allah yang Maha Penyanyang lagi maha Mengatasi. Segala puji hanya bagi Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya segala pengalaman sepanjang Ekspedisi Merdeka de' Everest 2007 sangat berharga dan tidak mungkin saya lupakan.
Antara hidup dan mati...begitulah keadaa saya apabila sampai di Kem 3. Tingginya 7 200 meter dari aras laut., iaitu lebih kurang 23 000 kaki. Saya diserang Acute Mountain Sickness. Air dikatakan telah memasuki otak saya. Doktor dari England yang memberikan pertolongan cemas minta supaya saya dihantar turun. Kata mereka saya cuma ada masa 30 minit sahaja lagi untuk selamat, jika tidak mungkin mati.
Tapi bagaimana mahu turun, hari sudah mulai gelap.. ketua sherpa dan para pendaki serta doktor kami di Everest Base Camps sepakat supaya saya berehat di Kem 3. Turun bermakna menempah bahaya, bahan sejuk yang amat sangat, mungkin frostbite, mungkin terjatuh kerana laluan curam dan gelap. Allah Maha Berkuasa.
Waktu membuat latihan dari Kem 1 ke Kem 2 saya ditunjukan mayat sherpa yang mati dihempap runtuhan salji. Saya berselisih dengan dua mayat pendaki Korea yang sedang dibawa turun ke base camp. Mereka terbunuh ditimpa runtuhan salji ketika sedang tidur di Kem 2- seorag putus kepalanya. Di Kem 2 juga saya berjumpa dengan suami seorang pendaki wanita terkenal Nepal yang mati terjatuh sewaktu membawa pendaki, mayatnya sukar dikenali.
Fauzan gagal ketika mendaki pada tahun 1997 kerana mengalami cirit birit walaupun tinggal 400 meter sahaja lagi hendak sampai ke puncak. Beliau nyaris gagal lagi apabila menghadapi kesukaran bernafas. Namun rezekinya hendak sampai ke puncak kali ini dizinkan Allah. Zainul Fikri diserang buta salji dan tidak boleh melihat selama empat hari. Saya juga diserang dan tidak boleh melihat selama dua hari. Ketika turun dari berlatih di Khumbu Icefall, maut mengejar saya, Rafie dan Marina disebabkan runtuhan salji. Mat pula rebah setelah turun dari Island Peak dan terpaksa dipulihkan.
Pun begitu, Merdeka d' Everst melakar sejarah. Marina menjadi wanita Malaysia pertama yang menakluki Everest. Mat menjadi mahasiswa pertama di dunia menawan puncak itu dua kali. Idris menjadi pendaki tertua dari Malaysia dan Asean sampai ke puncak. Saya menjadi orang tertua dari malaysia yang sampai ke Kem 3, ketinggian yang mengatasi enam puncak tertinggi di setiap benua dunia.
Banyak benar air mata kesedihan dan kegembiraan yang mengalir di sepanjang pendakian ini. Pelbagai deberan dan cabaran menghantui kami semua. Tetapi kami tetap tabah. Kami tawakal dan redha atas setiap perkara yang kami lalui semata-mata kerana agama, bana dan tanah air.
Khalid Yunus
Presiden
Persatuan Kembara Negara
|